MALAYSIA

JKM bantu pelajar UPSI alami kecacatan kekal mohon kad OKU

Bernama 29/06/2025 | 08:45 MYT
JKM sedang membantu pelajar UPSI yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan bas (foto) pada 9 Jun dengan proses permohonan kad OKU, sambil menunggu pengesahan perubatan. -Gambar fail/Bernama
KEPALA BATAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu proses permohonan kad orang kurang upaya (OKU) untuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecacatan kekal selepas terlibat dalam kemalangan bas pada 9 Jun lepas.

Ringkasan AI
  • JKM sedang membantu pelajar UPSI yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan bas pada 9 Jun dengan proses permohonan kad OKU, sambil menunggu pengesahan perubatan.
  • Sesi kaunseling diteruskan untuk pelajar, keluarga mereka, dan keluarga mangsa kemalangan termasuk yang menaiki Perodua Alza, kerana mereka masih mengalami trauma.
  • Kemalangan tragik itu meragut 15 nyawa dan mencederakan 33 individu, termasuk penuntut UPSI, pemandu bas, kelindan, serta penumpang MPV.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpul maklumat lengkap pelajar terbabit.
"Bagi mereka yang mungkin ada kecacatan kekal, selepas ini JKM akan pergi (kepada pelajar) dan JKM seterusnya membantu untuk memproses permohonan itu.
"Berapa banyak pelajar yang mengalami kecacatan kekal, data-data itu kita sedang kumpul, kami perlukan maklum balas daripada doktor dan sebagainya," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas di Kubang Menerung di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam.
Mengulas lanjut, Noraini berkata pihaknya masih meneruskan sesi kaunseling bukan sahaja kepada pelajar terlibat malah ahli keluarga kerana berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati mereka masih trauma.
Sesi kaunseling turut diberikan kepada keluarga pemandu Perodua Alza yang terlibat dalam nahas itu.
"Semalam, saya melawat mangsa, iaitu keluarga yang menaiki kereta Perodua Alza di rumah mereka dan mendapati mereka masih trauma," katanya.
Dalam kemalangan itu, sebanyak 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak, terbalik di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Nahas itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
-- BERNAMA
#UPSI #OKU #Jabatan Kebajikan Masyarakat #kecacatan kekal