SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat sedang mengesan ibu dan bapa kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di Warung Haji Wok Ghani, Batu 9 Cheras pada 19 November lalu.

JKM Daerah Hulu Langat dalam kenyataannya memaklumkan, kanak-kanak terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemui.

"Kanak-kanak itu dikenali dengan panggilan Hawani berumur lebih kurang 8 tahun," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak terbabit memberitahu JKM bahawa ibu kandungnya merupakan warga Indonesia manakala bapanya warga Myanmar.

"Kanak-kanak itu kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai melalui perintah mahkamah di bawah seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001," kata kenyataan itu pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk memaklumkan kejadian itu untuk tindakan lanjut.

"Mereka boleh hadir ke pejabat atau menghubungi JKM Daerah Hulu Langat di talian 03-87395070," ujar kenyataan itu.- Sinar Harian