JKM cari waris kanak-kanak lelaki

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 5, 2022 02:30 MYT
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batang Padang. - Foto JKM
TAPAH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kandung atau waris seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali Muhammad Affan Ammar, berusia 2 tahun 7 bulan.
Pelindung Kanak-Kanak Daerah Batang Padang, Perak Azmila Binti Alis @ Alias berkata, kanak-kanak lelaki itu dilahirkan pada 2 Mac 2020 dan ditinggalkan oleh ibunya di rumah pengasuh di Taman Desa Kundang, Rawang, Selangor tanpa mengambilnya semula.
Menurutnya, sehingga sekarang kanak-kanak itu berada dalam jagaan ahli keluarga pengasuh tersebut yang tinggal di daerah ini.
Katanya, sejak itu, tiada individu atau waris tampil menuntut kanak-kanak tersebut.
“Kes ini telah dirujuk ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Tapah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Subseksyen 19(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batang Padang, Perak Azmila Alis @ Alias di talian 05-401 1069.
#Kanak-kanak #lelaki #waris #jkm