MALAYSIA

JKM Selangor siasat aduan taska tidak ikut SOP, dera kanak-kanak

Bernama 21/01/2026 | 10:20 MYT
JKM menerima aduan membabitkan cawangan di sekitar Shah Alam dan Puchong iaitu di Seksyen 3, Kota Kemuning dan Puchong Prima. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menerima tiga aduan berhubung sebuah taska dipercayai terbabit dalam kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk isu penderaan di cawangannya, seperti tular di media sosial.


Ringkasan AI
  • JKM Selangor menerima tiga aduan berhubung kes pelanggaran SOP dan penderaan di sebuah taska di Shah Alam dan Puchong.
  • Pegawai JKM sedang menyiasat aduan terbabit di cawangan Kota Kemuning dan Puchong Prima.
  • MARA menegaskan tidak membiayai taska yang terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak di Shah Alam, dan tidak akan memberi ruang kepada sebarang syarikat yang terlibat dalam tindakan salah laku tersebut.


Pengarah JKM Selangor Azmir Kasim berkata setakat ini aduan diterima membabitkan cawangan di sekitar Shah Alam dan Puchong iaitu di Seksyen 3, Kota Kemuning dan Puchong Prima.

"Semua kes ini dalam siasatan JKM. Pegawai telah diarahkan untuk turun sejak pagi tadi untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata agensinya tidak membiayai taska di cawangan Shah Alam yang dikaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak.

Asyraf Wajdi berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat terlibat dalam salah laku sedemikian, khususnya yang mendapat pembiayaan daripada MARA.

Sebelum ini tular di media sosial, video dipercayai dikongsi petugas di sebuah taska di Shah Alam yang memaparkan seorang kanak-kanak autistik dikurung dalam sebuah stor dengan keadaan menangis teresak-esak.

Turut tular video memaparkan kanak-kanak dengan jenama taska yang sama di cawangan Puchong diminta merangkak di dalam longkang didakwa bagi mengelak pemeriksaan pihak JKM.

-- BERNAMA


#video tular #taska dera anak #kanak-kanak autistik #Asyraf Wajdi Dusuki