ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan 10 kes varian Omicron COVID-19 di negeri ini membabitkan enam individu yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Pengarah JKN Kedah, Dr Othman Warijo berkata, empat lagi kes adalah jangkitan tempatan terdiri daripada ahli keluarga jemaah berkenaan.

Dr Othman berkata, kesemua mereka berusia antara 13 hingga 59 tahun hanya bergejala ringan iaitu kategori satu dan dua sahaja.

“Kesemua kes bagi varian Omicron dirujuk di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman memaklumkan, kesemua individu yang dijangkiti varian Omicron bergejala ringan dan sudah mengambil vaksin dos penggalak.

"Kesemuanya sudah mengambil dos ketiga sebelum berlepas ke Arab Saudi jadi gejala mereka tidak teruk, ada yang dikuarantin di rumah sekiranya hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati rumah mereka mempunyai bilik yang mencukupi untuk melakukan pengasingan.

"Jika tidak, mereka perlu dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sekiranya ada gejala teruk mereka akan dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, varian Omicron lebih mudah tersebar atau dijangkiti dan ia memerlukan jemaah serta orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi ini ada yang tidak ikut SOP apabila diminta untuk kuarantin dahulu di rumah, mereka pergi berjalan dan ada pula rakan dan saudara mara yang datang ziarah.

"Sebab itulah sekarang mereka perlu pakai peranti pengesanan digital supaya KKM dapat kesan apabila mereka keluar rumah, selalunya mereka akan diminta untuk untuk menjalani kuarantin selama 10 atau tujuh hari sahaja," katanya.