KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti faktor berkaitan kematian seorang peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Maran, Sabtu lepas.
JKN Pahang dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan berkenaan merangkumi penilaian terhadap aspek persekitaran, pelaksanaan aktiviti, keadaan cuaca serta faktor lain yang berkaitan.
“JKN Pahang menyambut baik tindakan pihak penganjur yang telah menghentikan aktiviti berkaitan susulan kejadian tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sementara siasatan dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Pada 4 Sept lepas, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai acara lasak KKEC 2026 di UiTM Kampus Jengka.
Lapan lagi peserta dilaporkan menerima rawatan serta pemantauan perubatan di dua hospital berasingan berikutan kejadian berkaitan haba ketika menyertai acara tersebut.
Dalam pada itu, JKN Pahang menasihati semua penganjur aktiviti fizikal lasak dan aktiviti luar supaya melaksanakan penilaian risiko sebelum dan sepanjang aktiviti, khususnya dengan mengambil kira risiko berkaitan haba dan keadaan cuaca semasa.
"Penganjur juga perlu memastikan bekalan air minuman mudah diperoleh di lokasi yang bersesuaian serta menyediakan tempoh rehat yang mencukupi, terutama ketika cuaca panas atau aktiviti berintensiti tinggi," menurut kenyataan itu.
JKN Pahang memaklumkan penganjur juga perlu memastikan pemantauan peserta melalui kaedah sistem buddy dan checkpoint, selain kesiapsiagaan pasukan perubatan kecemasan, ambulans serta pelan tindakan kecemasan dan evakuasi yang jelas.
"JKN Pahang akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan yang sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA