MALAYSIA

JKNJ laksana mobilasi pegawai perubatan kontrak tangani kekurangan di hospital

Bernama 11/01/2026 | 13:15 MYT
JKNJ memaklumkan beberapa langkah penambahbaikan juga telah diambil secara berperingkat di HSA bagi menangani beban perkhidmatan kesihatan yang dialami. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaksanakan mobilisasi pegawai perubatan kontrak bagi menampung kekurangan petugas di beberapa hospital di negeri berkenaan, termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.


Ringkasan AI
  • Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaksanakan mobilisasi pegawai perubatan kontrak bagi menangani kekurangan petugas di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan beberapa hospital lain di negeri tersebut.
  • Langkah penambahbaikan diambil di HSA termasuk mengoptimumkan aliran pesakit, penyelarasan penugasan klinikal, dan kerjasama dengan pihak berkaitan untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan.
  • Meskipun berdepan kekurangan pegawai perubatan dan beban kerja yang tinggi, pasukan perubatan di HSA komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesionalisme demi keselamatan pesakit.


JKNJ menerusi kenyataan memaklumkan beberapa langkah penambahbaikan juga telah diambil secara berperingkat di HSA bagi menangani beban perkhidmatan kesihatan yang dialami.

Usaha itu, antara lain mengoptimumkan proses aliran pesakit dan penyelarasan penugasan klinikal serta kerjasama berterusan dengan pihak berkaitan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan.

"JKNJ amat menghargai komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pasukan perubatan dan pada masa sama mengharapkan kefahaman orang awam terhadap cabaran yang dihadapi oleh sistem kesihatan awam pada ketika ini," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, JKNJ turut mengambil maklum berhubung laporan media bertajuk 'Doctors Stretch to Breaking Point at Johor's HSA, Watchdog Warns' pada 7 Jan lepas, yang melaporkan isu kekurangan pegawai perubatan dan beban perkhidmatan kesihatan di HSA.

Jabatan itu memaklumkan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan walaupun hospital berkenaan, yang juga hospital rujukan utama di Wilayah Selatan dan menerima jumlah pesakit yang tinggi berdepan cabaran.

"Pasukan perubatan akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh profesionalisme walaupun berdepan beban kerja yang mencabar," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


#Hospital Sultanah Aminah #JKNJ #jumlah pesakit #beban kerja