KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menugaskan 1,086 anggota sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang kini memasuki gelombang kedua, kata Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata anggota berkenaan terdiri daripada 341 orang pasukan kesihatan dan 745 orang pasukan perubatan yang ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya sejak banjir gelombang pertama bermula 21 Nov lepas sebanyak 3,048 kes di PPS telah direkodkan dan dirawat melibatkan kes penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit serta kecederaan ringan.

"Penyakit utama yang dikesan adalah jangkitan saluran pernafasan atas dan penyakit kulit seperti kudis.

"Selain itu, sehingga semalam terdapat 11 kes antenatal, satu kes hemodialisis dan satu kes paliatif mangsa banjir yang dipindahkan ke hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata kesemua kes tersebut adalah dari Pasir Mas kecuali tujuh kes antenatal dari Pasir Puteh selain tiada kes postnatal yang dipindahkan.

Beliau berkata JKNK juga melalui pasukan bantuan awal psikologi (PFA) turut mengadakan aktiviti sesi relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan terhadap 365 penghuni PPS dan 44 sesi kepada anggota barisan hadapan.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini menasihatkan orang ramai agar sentiasa minum air bersih dan digalakkan minum air yang dibotolkan serta memastikan makanan yang diambil tidak tercemar.

"Bagi mangsa banjir genang, diminta segera ke klinik jika mengalami gejala demam, selesema, batuk dan sakit tekak untuk mengenal pasti mereka tidak dijangkiti Leptospirosis.

"Pihak jabatan sebenarnya telah membuka Bilik Gerakan Bencana di empat daerah yang terlibat banjir iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang bertujuan menyelaraskan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit serta kemalangan akibat kejadian banjir," katanya.

-- BERNAMA