[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
MALAYSIA

J-KOM perkukuh jalinan kerajaan, rakyat menerusi Program MADANI Rakyat

Bernama 12/10/2025 | 13:15 MYT
Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) terus mempergiat peranannya dalam usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR). - BERNAMA
JASIN: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) terus mempergiat peranannya dalam usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR).

Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata usaha itu diterjemahkan melalui pelbagai program lapangan termasuk PMR Komuniti Nelayan yang diadakan di Medan Ikan Bakar Serkam Pantai di sini.

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam serta Jabatan Perikanan Melaka bagi mendekatkan dasar serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat nelayan secara terus.

"Melalui platform seperti ini, J-KOM berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat, memperkukuh kefahaman berasaskan fakta bukan persepsi selain memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan kerajaan secara terus," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Ismail berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah PMR peringkat kebangsaan dan kemuncak program pada 17 Okt ini di Politeknik Merlimau, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata J-KOM juga komited memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan termasuk penyasaran subsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dapat difahami secara jelas oleh rakyat, terutama komuniti pesisir seperti nelayan yang menerima manfaat langsung daripada pelaksanaannya.

"Komunikasi strategik bersepadu antara agensi kerajaan turut memastikan mesej dan maklumat disampaikan kepada rakyat kekal konsisten dan tepat," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Zaidi turut menyampaikan beberapa Anugerah MADANI kepada individu dan kumpulan yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehidupan komuniti pesisir.

-- BERNAMA



#J-KOM #Program MADANI Rakyat #kerajaan dan rakyat #Ismail Yusop