KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) mengundang bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk terlibat dalam mesyuarat jawankuasa itu untuk memberi penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen berkata, jemputan itu adalah bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan membuat penelitian menyeluruh berhubung beberapa isu yang bakal diajukan kepada kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, ia termasuk cadangan memisahkan peranan Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara, selain isu berkaitan keputusan melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

"JKPK ini menyedari dan menghormati kuasa Peguam Negara dalam menjalankan budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, undangan kepada kedua-dua Peguam Negara adalah untuk membantu JKPK ini memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutamanya berkaitan dengan kes-kes berprofil tinggi apabila Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang utama kepada Kerajaan dan pada masa yang sama, sebagai pendakwa raya.

"Perkara itu digariskan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah, khususnya berkaitan dengan implikasi dan cadangan terhadap pemisahan kedua-dua peranan dan tugas tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan JKPK turut menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) untuk menghadiri mesyuarat itu.

Dalam pada itu katanya, Kabinet juga bersetuju untuk merujuk skop dasar bagi Rang Undang-Undang Sumbangan Politik (RUU) kepada JKPK ini.

Sehubungan itu, katanya, JKPK akan melihat serta mengkaji terhadap cadangan bagi Akta Pembiayaan Politik bagi terus memastikan bahawa institusi demokrasi di Malaysia bebas daripada kegiatan yang tidak sihat dan tidak berdemokrasi.