MALAYSIA

JKSB terima dua pengiktirafan MBOR untuk sistem Pengurusan Trafik AI Pintar

Bernama 23/12/2025 | 11:45 MYT
Pengiktirafan itu disampaikan kepada JKSB semasa Majlis Anugerah MBOR untuk Inovasi AI di Bayan Lepas hari ini yang disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. - Gambar Facebook Jambatan Kedua Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), pemegang konsesi dan pengendali Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS), menerima dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book of Records (MBOR) untuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Trafik Kecerdasan Buatan (AI) Pintar.


Ringkasan AI
  • Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas pelaksanaan Sistem Pengurusan Trafik Kecerdasan Buatan (AI) Pintar, menandakan kecemerlangan dalam penggunaan teknologi AI di lebuh raya dan infrastruktur jambatan di Malaysia.
  • Majlis Anugerah MBOR untuk Inovasi AI menyaksikan turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta wakil daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (MHA), Dahua Technology Malaysia, dan MBOR, menunjukkan pengiktirafan ini adalah pencapaian yang penting dalam sektor teknologi lebuh raya.
  • Implementasi Sistem Pengurusan Trafik AI Pintar di Jambatan Pulau Pinang Kedua dijangka meningkatkan keselamatan jalan raya, mobiliti, dan kedudukan Pulau Pinang sebagai hub perindustrian dan logistik utama, sejajar dengan visi Pulau Pinang 2030 yang diumumkan oleh Chow Kon Yeow.


Menurut kenyataan JKSB, pengiktirafan itu adalah untuk penggunaan teknologi AI terbanyak pada jambatan lebuh raya dan jambatan lebuh raya pertama menggunakan teknologi AI untuk operasi lebuh raya, yang menandakan suatu pencapaian penting berhubung penggunaan AI dalam lebuh raya dan sektor infrastruktur jambatan di Malaysia.

Pengiktirafan itu disampaikan kepada JKSB semasa Majlis Anugerah MBOR untuk Inovasi AI di Bayan Lepas hari ini yang disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Turut hadir Pengarah Urusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (MHA) Datuk Sazali Harun, Pengerusi JKSB Datuk Abdul Malik Abdul Kassim, Ketua Pengarah Urusan Dahua Technology Malaysia Levi Wen dan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong.

Sistem Pengurusan Trafik AI Pintar, yang dilaksanakan pada 2023 dan siap sepenuhnya pada penghujung 2024, dibangunkan dengan kerjasama Dahua Technology Malaysia Sdn Bhd manakala YCS Technology Solution (M) Sdn Bhd berkhidmat sebagai Penyepadu Sistem (SI) dan bekerjasama rapat dengan pasukan operasi JKSB.

Inisiatif berkenaan memperkukuh keupayaan pemantauan trafik, meningkatkan kecekapan tindak balas insiden dan meningkatkan prestasi operasi keseluruhan di Jambatan Pulau Pinang Kedua," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Chow berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen JKSB terhadap infrastruktur didorong teknologi progresif yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan keselamatan awam, selaras dengan visi Pulau Pinang 2030.

"Dengan menerima sistem pengurusan trafik pintar, kami memperkukuh keselamatan jalan raya, meningkatkan mobiliti dan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri yang berdaya saing, bersedia untuk masa hadapan selaras dengan visi Pulau Pinang 2030," katanya.

Beliau berkata Jambatan Kedua Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem ekonomi negeri terutama apabila Batu Kawan berkembang menjadi hab perindustrian dan logistik utama.

Abdul Malik pula berkata pengiktirafan itu menekankan tanggungjawab JKSB sebagai penjaga aset negara yang strategik dan komitmen berterusannya terhadap inovasi dan kecemerlangan operasi.

"Memandangkan jumlah trafik di Jambatan Pulau Pinang Kedua terus meningkat, pelaksanaan sistem pengurusan trafik pintar menyokong aliran trafik yang lebih lancar, hasil keselamatan yang lebih baik dan pengagihan trafik yang lebih seimbang antara pulau dan tanah besar," katanya.

-- BERNAMA


#Jambatan Pulau Pinang #kecerdasan buatan #mbor #hab perindustrian