KUALA LUMPUR: Pelawak kontroversi kelahiran Singapura, Jocelyn Chia sekali lagi memperlekeh Malaysia dalam kenyataan terbaharunya susulan tindakan biadap kumpulan muzik dari British, The 1975 baru-baru ini.

Dalam ciapan di akaun Twitternya, Jocelyn yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan The 1975 yang kini memasuki senarai sebagai orang yang disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia seperti yang dikenakan padanya.

Tidak cukup dengan itu, Jocelyn juga mempersoalkan kenapa The 1975 tidak dikesan oleh polis antarabangsa (Interpol) iaitu tindakan yang sama dibuat pihak berkuasa Malaysia ke atasnya.

"Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Bagaimanapun, mana arahan supaya dia ditahan dan INTERPOL digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?

"Adakah Malaysia telah melonggarkan (undang-undang sedia ada)... atau apa sebenarnya...," tulis Jocelyn dalam ciapan menerusi akaun Twitternya, @JocelynChia.




Pada Jun lalu, Jocelyn dikecam pelbagai pihak kerana menjadikan kes kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 sebagai modal dalam persembahan komedinya di AS.

Kecaman bukan hanya datang daripada pelbagai pihak di Malaysia, bahkan, kebiadapannya turut dikecam oleh banyak di negara kelahirannya, Singapura.

Kumpulan muzik The 1975 pula dikecam teruk kerana dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semasa mengadakan persembahan di Good Vibes Festival di Sepang, pada Jumaat lalu.

Susulan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) membuat keputusan menyenaraihitamkan kumpulan muzik British, The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

Menurut JK-PUSPAL, tindakan itu diambil berikutan The 1975 telah menghina, memperlekehkan undang-undang negara dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia ketika mengadakan persembahan.