'Jodoh tidak kenal paras rupa' - atlet paralimpik

Nazialita Geynna Maharan
November 20, 2017 07:27 MYT
Majlis persandingan kedua-dua atlet paralimpik negara Mohd Shahmil Md Saad, 31, dan Rafidah Mohamad Shahir, 38, berlangsung sederhana tetapi meriah di rumah pengantin perempuan di Kampar pada Ahad. -Astro AWANI
KEKURANGAN diri bukan penghalang untuk atlet paralimpik mencipta kejayaan di bidang sukan tetapi juga bahagia bertemu jodoh.
Pertemuan tanpa dirancang ketika mewakili negara dalam Sukan Asia Paralimpik, Incheon, Korea tiga tahun lalu akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.
Majlis persandingan kedua-dua atlet paralimpik negara Mohd Shahmil Md Saad, 31, dan Rafidah Mohamad Shahir, 38, berlangsung sederhana tetapi meriah di rumah pengantin perempuan di Kampar pada Ahad.
Lebih menarik, Shahmil yang merupakan atlet angkat berat negara serta Rafidah yang merupakan atlet boling turut diarak oleh rakan-rakan atlet paralimpik pada hari persandingan mereka.
Walaupun mengalami kecacatan di bahagian kaki, Shahmil tampak begitu segak dan yakin memimpin isterinya, Rafidah yang ayu berbusana selain diraikan dengan begitu meriah oleh sekitar 500 pengunjung.
Rafidah dan Shahmil ketika ditemui Astro AWANI berkata mereka bersyukur dipertemukan sewaktu membawa nama Malaysia di persada sukan ternama dan berharap perkahwinan ini akan berkekalan sehingga ke Jannah.
Dalam pada itu, Shahmil mengucapkan rasa syukur kerana dipertemukan seorang wanita istimewa dan memahami kerjayanya sebagai seorang atlet paralimpik negara.
"Bukan semua yang dapat menerima keadaan saya seperti ini, dan memahami bidang tugas dan kerjaya saya yang tidak menentu, jadual yang ketat, dan sebagainya.
"Saya anggap jodoh ini amat indah, kerana perkenalan kami tidak lama, dan saya berharap semua dapat mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.
Bagi Rafidah, sesi perkenalan mereka bermula sebagai seorang sahabat ketika mewakili negara pada Sukan Asia Paralimpik di Incheon, Korea.
Katanya, sepanjang perkenalan dan persahabatan mereka, dia berasa amat selesa dengan layanan Shahmil sebelum jejaka itu kemudian melamarnya.
"Saya sendiri tak percaya pemilihan mewakili negara merupakan satu takdir untuk kami berdua mendirikan rumah tangga pada hari ini," katanya.
Dalam majlis itu, pasangan tersebut turut berkesempatan melakukan dua perkahwinan serentak bersama adik lelaki Rafidah.
Majlis yang cukup sederhana itu jelas membuktikan bahawa cinta dan jodoh tidak mengenal erti paras rupa dan fizikal seseorang malah kebahagiaan tersebut turut dikongsi bersama rakan-rakan paralimpik seangkatan yang lain.
#Asia #atlit #Incheon #Korea #Korea Selatan #lelaki #OKU #Paralimpik #pemilihan #sukan #Sukan Asia Paralimpik #wanita