Johan kesal Pengerusi Bernama belum dilantik

Astro Awani
Ogos 23, 2023 03:00 MYT
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar kesal kerajaan belum mengisi jawatan Pengerusi di institusi sepenting Bernama selepas lapan bulan dibiarkan kosong. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sepatutnya sudah dibuat sebaik-baik sahaja tamat perkhidmatan Datuk Ras Adiba Radzi pada 31 Januari 2023.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar kesal hal itu berlaku pada institusi sepenting Bernama.
Beliau menganggap tindakan melambat-lambatkan pelantikan itu sebagai satu pengabaian yang tidak bertanggungjawab oleh kementerian berkenaan.
Dalam masa sama, Johan mempersoalkan mengapakah jawatan itu dibiarkan kosong selama lapan bulan.
“Bernama tidak boleh dibiarkan tanpa pimpinan pada peringkat paling tinggi begitu lama,” kata beliau apabila dihubungi.
Sumber dalaman Bernama memberitahu bahawa Yang Di Pertuan Agong telah memberi perkenan nama Pengerusi Bernama yang baharu sejak beberapa bulan yang lalu.
Menurut Johan, akibat kelambatan perlantikan itu pelbagai spekulasi tidak sihat telah muncul.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengumuman tentang pelantikan Pengerusi itu dibuat segera oleh kementerian berkaitan.
#Pengerusi Bernama #Johan Jaaffar #lantikan Pengerusi Bernama #Tokoh Wartawan Negara