MALAYSIA
Johari cadang susun semula agensi terlibat urus sisa plastik

Johari bercakap pada sesi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian dan agensi yang terlibat dalam pengurusan sisa plastik perlu disusun semula secara menyeluruh bagi memastikan pendekatan pelupusan bahan itu lebih terselaras dan berkesan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari yang kini menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata ketika ini pengurusan sisa plastik melibatkan pelbagai agensi dan mempunyai bidang kuasa berbeza seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Saya setuju bahawa kita perlu menyusun semula kementerian-kementerian yang terlibat dalam pengurusan sisa plastik. Kalau kita lihat dalam negara kita, JAS satu pihak, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, MITI yang mengeluarkan peraturan Operasi Agensi (POA). Jadi keempat-empat ini mempunyai bidang kuasa yang sangat berbeza.
"Kalau kita mahu hasil yang benar-benar berkesan, keempat-empat pihak ini perlu duduk semeja. Itulah cadangan yang saya kemukakan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.Johari berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ibharim Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme yang perlu ditambah baik bagi memperketat kawalan pemeriksaan terhadap kilang kitar semula plastik yang menjadi antara punca penyeludupan sisa masuk ke negara ini.
Johari berkata semua kontena sisa plastik yang masuk ke negara ini memerlukan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh serta sistematik.
"Contohnya, kalau kontena masuk dengan pengisytiharan yang salah, pihak kastam mungkin tidak dapat periksa setiap kontena yang tiba ke lokasi itu. Kontena itu mungkin sudah terlepas.
"... tetapi jika ada pemantauan di setiap syarikat yang memproses sisa ini, kita sudah tentu dapat mengenal pasti sama ada sisa itu dihantar syarikat atau kilang mana, dan sama ada mereka berlesen atau tidak," katanya.
Johari berkata kebimbangan utama ketika ini ialah apabila banyak sisa plastik dari negara maju yang dihantar ke Malaysia hanya diproses dalam kadar kecil, manakala sebahagian besar daripadanya berakhir di tapak pelupusan.
"Yang menjadi ketakutan kita hari ini, banyak daripada sisa yang dihantar oleh negara-negara maju hanya diproses kira-kira 10 hingga 20 peratus, manakala baki 80 peratus lagi dibuang ke tapak pelupusan.
"Akhirnya kita yang terpaksa menanggung kos tinggi untuk menguruskan tapak pelupusan ini, sedangkan negara-negara asal tidak membayar apa-apa untuknya," katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti kitar semula plastik perlu didaftarkan di bawah MITI bagi membolehkan pemantauan yang lebih menyeluruh dilakukan terhadap operasi mereka.
Melalui cara itu, katanya syarikat yang dilesenkan oleh MITI boleh dipantau ketika memperbaharui lesen secara tahunan, dengan setiap permohonan perlu disertakan penyata akaun yang telah diaudit termasuk jumlah jualan, kadar eksport dan destinasi pasaran.
Johari berkata mekanisme itu perlu dilaksanakan dengan segera sebagai langkah tegas untuk memastikan ketelusan dalam industri kitar semula serta menangani isu lambakan sisa plastik secara sistematik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami