JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor bakal melancarkan rangka kerja inisiatif hijau bergelar "Johor Green Deal" pada Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023, yang akan berlangsung di sini pada November.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dalam menangani isu berhubung perubahan iklim di Johor, kerajaan negeri perlu mempunyai hala tuju yang jelas dari segi usaha untuk dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.

"Isu perubahan iklim adalah sesuatu yang menjadi semakin berbahaya kepada dunia secara keseluruhannya dan Johor secara khususnya, saya lihat (di APCW) sebagai satu peluang untuk kita buat penambahbaikan-penambahbaikan.

"Kita akan mengambil peluang, insya-Allah, untuk melancarkan Johor Green Deal dari segi pelan kelestarian kita untuk masa depan Johor yang lebih hijau dan kita akan bekerjasama erat dengan Datuk Seri Hasni Mohammad bagi menubuhkan Pusat Kelestarian Johor," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor dan kini merupakan pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO), selain Pengurus Penyelaras Program Persidangan Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNFCCC) Niclas Svenningsen.

Ditanya sama ada Johor akan berkongsi pengalaman menguruskan bencana khususnya dalam menangani banjir, Onn Hafiz berkata Johor bukan sahaja akan berkongsi pengalaman malah akan membuat penilaian menyeluruh dan belajar daripada negara lain berhubung perkara itu.

"Isu banjir bukanlah sesuatu yang unik kepada Johor sahaja, tetapi ia juga adalah isu global yang perlu ditangani oleh semua pihak," katanya.

Johor berdepan situasi banjir terburuk setiap tahun bermula 2007 hinggalah terkini pada hujung Februari lepas, yang menyaksikan lebih 80,000 mangsa di 10 daerah dipindahkan daripada kediaman mereka.

Mengenai APCW 2023, beliau berkata Johor berbangga dan sukacita menganjurkan acara yang sangat penting itu dan menegaskan semula komitmen tidak berbelah-bahagi Johor terhadap inisiatif mampan dan hijau.

Sementara itu, Svenningsen berkata dedikasi dan kepimpinan Johor menganjurkan acara itu akan mencetuskan keazaman masyarakat dalam menangani cabaran iklim di rantau ini.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 17 Nov ini, persidangan tersebut dijangka mengumpulkan lebih 2,000 delegasi daripada 150 negara.

APCW 2023 di Johor ialah satu daripada empat minggu persidangan iklim serantau yang diadakan tahun ini, bagi membina momentum menjelang Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) di Dubai pada hujung November.

-- BERNAMA