KUALA LUMPUR: Johor bakal menerima 1.293 juta dos vaksin bulan ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah daripada jumlah itu 583,000 merupakan vaksin Pfizer, 637,000 Sinovac dan baki 73,000 AstraZeneca.

Baginda turut bertitah pada minggu pertama Julai sebanyak 51,100 dos vaksin akan diterima diikuti minggu kedua dengan 178,540 dos.

Pada minggu ketiga Julai sebanyak 278,132 dos vaksin akan diterima manakala pada minggu keempat dengan 394,620.

Minggu akhir Julai, Johor bakal menerima 390,900 dos vaksin.

Tunku Ismail menitahkan baginda akan turut serta untuk penerimaan vaksin dan memastikan ianya diberikan kepada semua rakyat Johor dengan efisien dan tepat pada masanya.

"Saya akan turut serta untuk penerimaan vaksin dan memastikan ianya diberikan kepada semua Bangsa Johor dengan efisien dan tepat pada masanya.

"Saya juga telah diberi penerangan oleh pihak berwajib mengenai jumlah pendaftaran dan cara pengedaran vaksin.

"Saya yakin ramai Bangsa Johor akan diberi vaksin dalam beberapa minggu ini menjelang kita ke arah mencapai tahap imunisasi kelompok," titah baginda dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Baginda turut merakam penghargaan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang menjayakan usaha ini dan mengingatkan seluruh rakyat Johor untuk mendaftar vaksin serta mendapatkan vaksinasi.