Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Johor bangunkan dua LRA bernilai RM184 juta, perkukuh bekalan air terawat

Bernama 19/11/2025 | 07:50 MYT
Mohamad Fazli (berdiri) berkata bagi pembinaan LRA Layang 2 Fasa 2, projek bernilai RM114 juta dengan kapasiti 160 JLH itu dijangka siap pada 2027 dan akan membekalkan air ke kawasan Johor Bahru serta Iskandar Puteri. -Foto fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor sedang membangunkan dua loji rawatan air (LRA) baharu bernilai keseluruhan RM184 juta, bagi memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat di negeri itu.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Johor membangunkan dua loji rawatan air (LRA) baharu bernilai RM184 juta untuk menangani permintaan air terawat yang meningkat di negeri itu. LRA Pakej Plant Semanggar dan LRA Layang 2 Fasa 2 akan membekalkan air kepada kawasan Kulai, Sedenak, Johor Bahru, dan Iskandar Puteri.
  • Projek LRA Semanggar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong bernilai RM750 juta dan RM537 juta juga sedang dirancang, dengan kapasiti 290 JLH, bagi kawasan Johor Bahru, Kulai, dan Pontian. Projek ini dijangka memberi manfaat kepada 46,119 akaun pengguna di Daerah Pontian.
  • Penggunaan air terawat di Johor dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang disebabkan oleh pertumbuhan industri, pertambahan populasi, serta projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Selain itu, projek pengezonan semula bernilai RM1.02 bilion turut dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat di beberapa kawasan penting di Johor.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek berkenaan, melibatkan LRA Pakej Plant Semanggar bernilai RM70 juta dengan kapasiti 50 juta liter sehari (JLH) dan dijangka siap tahun hadapan untuk membekalkan air kepada kawasan Kulai dan Sedenak.

Beliau berkata bagi pembinaan LRA Layang 2 Fasa 2, projek bernilai RM114 juta dengan kapasiti 160 JLH itu dijangka siap pada 2027 dan akan membekalkan air ke kawasan Johor Bahru serta Iskandar Puteri.

"Terdapat juga dua projek LRA lain iaitu LRA Semanggar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong, masing-masing bernilai RM750 juta dan RM537 juta yang sedang berada pada peringkat konsep reka bentuk dan reka bentuk terperinci, membabitkan kawasan Johor Bahru, Kulai dan Pontian dengan kapasiti 290 JLH," katanya.

Mohamad Fazli menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup), mengenai status projek LRA baharu serta jaminan bekalan air bersih sehingga 2030 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Mohamad Fazli berkata, bagi LRA Kayu Ara Pasong, kapasiti asal dicadangkan Ranhill SAJ ialah 30 JLH, namun disebabkan pembinaan Projek Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Pontian Besar berkapasiti 90 JLH, kerajaan negeri mencadangkan kapasiti LRA ditingkatkan kepada 90 JLH.

"Pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mencadangkan LRA ini dibina dahulu dengan kapasiti 30 JLH pada kos RM191 juta, manakala baki 60 JLH dilaksanakan pada Fasa 2. Keseluruhan projek ini dijangka memberi manfaat kepada 46,119 akaun pengguna di Daerah Pontian," katanya.

Beliau berkata penggunaan air terawat di Johor dijangka terus meningkat, dipacu pertumbuhan industri, pertambahan populasi serta projek strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan pusat data.

Mohamad Fazli berkata Johor kini mempunyai 48 LRA dengan kapasiti reka bentuk keseluruhan 2,352 JLH, manakala purata pengeluaran tahun 2025 ialah 2,037 JLH dengan unjuran menunjukkan permintaan air meningkat kepada 2,700 JLH pada 2030, seterusnya 3,000 JLH pada 2035, dan 3,300 JLH pada 2040.

Selain pembangunan LRA baharu, projek pengezonan semula bernilai RM1.02 bilion turut dilaksanakan, bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai.

Projek berkenaan akan merangkumi empat pakej utama termasuk naik taraf sistem agihan di Pasir Gudang, Kempas Banjaran, Impian Emas, Johor Jaya dan Sutera Utama serta pemasangan paip baharu dari LRA Semangar ke Bukit Kulai Reservoir dan dari Masai ke U4.

-- BERNAMA


Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah nilai keseluruhan pembangunan dua loji rawatan air baharu di Johor?
    A: Nilai keseluruhan pembangunan dua loji rawatan air baharu di Johor ialah RM184 juta.
  • Q: Apakah kawasan yang akan dibekalkan air oleh LRA Pakej Plant Semanggar dan LRA Layang 2 Fasa 2?
    A: LRA Pakej Plant Semanggar akan membekalkan air kepada kawasan Kulai dan Sedenak, manakala LRA Layang 2 Fasa 2 akan membekalkan air ke kawasan Johor Bahru serta Iskandar Puteri.
  • Q: Berapakah jumlah akaun pengguna yang dijangka mendapat manfaat daripada projek LRA Kayu Ara Pasong di Daerah Pontian?
    A: Projek LRA Kayu Ara Pasong dijangka memberi manfaat kepada 46,119 akaun pengguna di Daerah Pontian.
  • Q: Apakah faktor-faktor yang memacu peningkatan penggunaan air terawat di Johor?
    A: Penggunaan air terawat di Johor dipacu oleh pertumbuhan industri, pertambahan populasi serta projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan pusat data.
  • Q: Berapakah purata pengeluaran air terawat di Johor pada tahun 2025 dan unjuran permintaan air pada tahun 2030?
    A: Purata pengeluaran air terawat di Johor pada tahun 2025 ialah 2,037 JLH. Unjuran menunjukkan permintaan air meningkat kepada 2,700 JLH pada 2030.



#Johor #loji rawatan air LRA #air terawat #LRA Layang 2 Fasa 2 #LRA Pakej Plant Semanggar