JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan meneliti tindakan yang boleh diambil termasuk cadangan untuk menggunakan tapak pelupusan sampah baharu bagi menampung sisa pepejal di Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL) di sini, yang terbakar dua hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata terdapat tiga kawasan yang telah dikenal pasti iaitu di Pasir Gudang, Seelong di Kulai dan Bukit Payung di Batu Pahat.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Tempat penempatan sampah bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi KPKT, operator yang menguruskan tempat itu juga dilantik oleh kementerian.

"Di Tanjung Langsat, kita akan meneliti beberapa perancangan termasuk tapak pelupusan sampah baharu yang menggunakan teknologi," katanya dalam sidang media selepas Program Johor Bersih @Sg Skudai di Taman Impian Emas di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai TPSTL yang terbakar dua hari lepas.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata Jawatankuasa Bertindak Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai telah ditubuhkan bagi menangani masalah pencemaran di sungai itu.

Menurutnya jawatankuasa itu antara lain berperanan menyusun semula penempatan setinggan melibatkan kira-kira 1,000 rumah di sepanjang jajaran sungai itu, bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

Katanya ini kerana penempatan setinggan di sepanjang 52 kilometer jajaran Sungai Skudai itu dikenal pasti antara punca sungai berkenaan masih teruk tercemar walaupun kerja pembersihan kerap dilakukan.

-- BERNAMA