Lapan buah kantin sekolah di Johor diarah tutup selepas 16 kes keracunan makanan dikesan di sekolah rendah dan menengah di negeri itu sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Exco Kesihatan Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kes keracunan sejak Januari hingga Ogos lepas itu telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding hanya tujuh kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

"Peningkatan berlaku kerana kecuaian pihak bertanggungjawab termasuk pengusaha kantin dalam menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan kepada pelajar, "katanya kepada media di sini pada Isnin.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat 2016 Peringkat Negeri di Dewan Besar Kompleks Tan Sri Rahmat di sini.

Tahun ini, katanya, terdapat 1,139 buah kantin dan 92 dapur asrama di negeri itu berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan untuk beroperasi menyediakan makanan kepada pelajar sekolah.

Namun, Ayub berkata pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah terhadap premis dan makanannya disediakan mendapati hanya 309 kantin sekolah mendapat status Gred A (Cemerlang), 592 (Gred B-Sangat Bersih) dan 175 mendapat Gred C (Bersih).

"Bagi kebersihan dapur asrama pula, 44 buah dapur asrama diberi Gred A, 66 dianugerah Gred B, 12 Gred C dan dua dapur lagi diarah tutup - juga kerana kes keracunan makanan," katanya.

Mengenai anugerah dwitahunan itu, sebanyak 19 penyertaan diterima daripada sekolah rendah luar bandar dan bandar.

Sekolah Kebangsaan Seri Puteri, Batu Pahat, memenangi kategori sekolah luar bandar manakala kategori sekolah rendah bandar dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chian Kuo, Tangkak.

Kedua-dua sekolah tersebut akan mewakili Johor pada pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadual diadakan pada 18 Okt ini di Shah Alam, Selangor. -- Bernama