MALAYSIA

Johor catat pertumbuhan KNDK tertinggi 2024, corak masa depan ekonomi negara - Exco

Bernama 02/07/2025 | 04:50 MYT
Lee Ting Han berkata, KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion, mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara bersama Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak. - Gambar Facebook Lee Ting Han
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri yakin Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pemacu ekonomi baharu Malaysia apabila negeri ini mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi pada 2024 berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, Johor mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.4 peratus, melepasi kadar pertumbuhan nasional 5.1 peratus.
"Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga atas laporan rasmi yang mengesahkan Johor mencatatkan pertumbuhan KDNK tertinggi di Malaysia bagi 2024, mengatasi kadar pertumbuhan nasional," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion, mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara bersama Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Prestasi cemerlang itu disumbang oleh pertumbuhan seimbang dalam pelbagai sektor, termasuk lonjakan sektor pembinaan sebanyak 42.7 peratus yang dipacu projek pusat data berskala besar dan infrastruktur digital seperti sistem penyejukan serta gentian optik berkapasiti tinggi, katanya.
Lee berkata, kerajaan negeri juga giat bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan melaksanakan projek berimpak tinggi seperti pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), projek ART di Iskandar Malaysia, RTS Link serta cadangan perkhidmatan Komuter Laluan Selatan.
Johor turut menambah baik ekosistem pelaburan dan tenaga kerja melalui inisiatif seperti Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFCJ) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi memenuhi permintaan industri masa hadapan.
Beliau berkata, dua dasar utama iaitu berkenaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City disasarkan memperkukuh ekosistem pelaburan dan perkhidmatan kewangan serantau.
"Kombinasi projek infrastruktur berskala besar, dasar pelaburan progresif dan kedudukan strategik di persimpangan ekonomi ASEAN, Johor bukan sekadar mencatatkan pertumbuhan malah juga sedang mencorak masa depan ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA
#Johor #KDNK Johor #JS-SEZ #Lee Ting Han