JOHOR BAHRU: Johor dijangka beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini selepas menerima tambahan sehingga 1.9 juta dos vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, penerimaan jumlah dos vaksin terbabit akan membolehkan kadar penerima vaksinasi lengkap di negeri ini dipertingkatkan melebihi 50 peratus.

Katanya, pada masa kini kadar individu yang menerima satu dos vaksin di Johor dianggarkan lebih 77 peratus.

"Sebanyak 1.9 juta dos vaksin dijanjikan pada bulan September ini, jadi dengan itu kita menjangkakan satu dua hari ini kita akan mencapai kadar 50 peratus penerima vaksin lengka.

"Dengan perancangan bulan September ini iaitu penerimaan 1.9 juta dos vaksin, kita menjangkakan boleh mencapai 100 peratus (populasi dewasa terima) dos pertama pada hujung September.

"Seterusnya, membolehkan kita lengkap pemberian vaksin dos kedua (seluruh populasi dewasa) pada bulan Oktober," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja dan penyerahan komputer riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, hari ini.

BACA: Johor dijangka beralih ke fasa kedua PPN seawal minggu depan - MB

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilapor mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

Dalam pada itu, Hasni menggesa golongan yang enggan atau belum bersedia menerima vaksin supaya melakukan ujian pengesanan COVID-19 lebih kerap.

Negeri berkenaan serta Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.