ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor menggalakkan pembukaan kawasan perindustrian baharu berkonsepkan 'land industrial area' atau kawasan perindustrian terancang yang disediakan dengan utiliti serta kemudahan asas lengkap dan kondusif untuk para pelabur di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor.

Beliau berkata, langkah itu adalah selari dengan hasrat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telahpun menubuhkan unit khas iaitu 'Industrial Estate Unit' melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti.

"Ini kerana Johor telah mencatatkan penerimaan pelaburan tertinggi dalam negara pada 2022, iaitu sebanyak RM70.6 bilion dengan 570 projek telah diluluskan yang dijangka akan menghasilkan lebih 16,000 peluang pekerjaan serta limpahan peluang perniagaan kepada rakyat Johor dan Malaysia.

"Patik menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) untuk memudah cara bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan dengan kadar segera," katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga Adun Machap berkata beliau akan terus mempengerusikan Jawatankuasa Pelaburan Johor atau lebih dikenali sebagai Johor Investment Committee (JIC) secara berkala bagi memastikan setiap pelaburan yang diluluskan dapat dilaksanakan, selain terus memantau dan memudahcara segala urusan pelaburan di negeri ini.

Pada Selasa lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han dilaporkan berkata pelaburan yang diterima Johor pada 2022 berjumlah RM70.6 bilion dengan RM58.78 bilion atau 83.26 peratus daripadanya adalah daripada pelaburan asing, manakala RM11.81 bilion atau 16.74 peratus daripada domestik.

Berhubung Zon Khas Kewangan di Iskandar Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan tersebut dan berharap perkara itu dapat dibincangkan segera dengan Kementerian Kewangan.

"Saya yakin ia boleh menjadi pemangkin untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan Iskandar Malaysia ini," katanya.

-- BERNAMA