Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Johor harap pelaksanaan Projek Sistem Aliran Transit Automasi disegerakan - Exco

Bernama 20/11/2025 | 10:52 MYT
Mohamad Fazli memberitahu, proses membuka tender, penilaian dan syor telahpun selesai di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada Jun atau Julai yang lepas. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) selewat-lewatnya awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek itu harus dilaksanakan untuk menyokong sistem pengangkutan awam, sekali gus menyurai aliran trafik sebelum Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi sepenuhnya pada 2027.

"Sebenarnya proses daripada membuka tender, penilaian dan syor telahpun selesai di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada Jun atau Julai yang lepas.

"Sekarang ini, tempoh (kerajaan negeri) untuk menunggu permohonan (projek) ini untuk diangkat di Kabinet oleh Menteri Pengangkutan," katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status pelaksanaan projek ART susulan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila RTS Link beroperasi serta projek ART yang belum dilaksanakan.

Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri juga sekali lagi telah mengangkat pelaksanaan projek ART menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR), yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Nov lepas.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan projek berkenaan yang menelan kos jauh lebih murah daripada Transit Aliran Ringan (LRT), selain merupakan antara solusi penyuraian aliran trafik di bandar raya Johor Bahru untuk jangka masa panjang.

Sebelum ini Mohamad Fazli dipetik sebagai berkata anggaran kos keseluruhan penyediaan infrastruktur LRT di Johor dianggarkan menelan belanja RM16.7 bilion, berbanding ART yang hanya membabitkan kira-kira RM7 bilion.

Sementara itu, katanya isu 26 penunggang motosikal rakyat tempatan yang ditahan kerana cuba keluar negara tanpa mengemukakan pasport baru-baru ini, telah menyebabkan kesesakan di laluan manual motosikal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata kesesakan itu antaranya berlaku susulan kawalan yang diperketat oleh pihak berkuasa, justeru menyarankan pengguna motosikal agar menggunakan kaunter e-gate menerusi aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) atau MyBorderPass bagi mengelakkan kesesakan tersebut.

Setakat ini katanya jumlah pengguna MNIISe di Malaysia hanya sekitar 40,000, berbanding Singapura yang telah mencapai 100,000 pengguna.

-- BERNAMA

#art #Johor #pengangkutan awam #penyuraian trafik #Sistem Aliran Transit Automasi