ISKANDAR PUTERI: Johor berharap agar kerajaan Persekutuan dapat melibatkan wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi membincangkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata penglibatan secara langsung itu penting kerana pembukaan sempadan merupakan elemen penting dalam usaha memulihkan ekonomi negeri itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya pembukaan sempadan kelak dapat merancakkan kembali sektor peruncitan dan pelancongan selain menghidupkan semula aktiviti ekonomi di negeri itu terutama Johor Bahru dan daerah sekitar.

Selain itu, katanya, ia akan turut mengembalikan kepesatan sektor hartanah, yang semestinya lebih rancak khususnya apabila kerajaan Persekutuan mengkaji semula dasar program Malaysia My Second Home (MM2H).

"Sehubungan itu, saya amat berharap agar kerajaan negeri Johor dilibatkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang melibatkan Tambak Johor dan Linkedua.

"Wakil kerajaan negeri perlu dimasukkan dalam jawatankuasa atau sekretariat bersama bagi melaksanakan inisiatif yang amat penting untuk Johor," katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Hasni (BN-Benut) berkata jawatankuasa khas itu, antara lain, akan memperbanyakkan perbincangan komprehensif mengenai pembukaan sempadan Johor-Singapura berdasarkan perkembangan semasa situasi pandemik COVID-19.

Menurutnya, perkara yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara akan turut dibincangkan dalam jawatankuasa itu termasuk pergerakan rentas sempadan.

"Insya-Allah, semoga pergerakan rentas sempadan antara Johor-Singapura boleh diaktifkan kembali dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bersesuaian. Dalam keadaan pandemik yang terkawal, kita dapat laksanakan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

"Kemungkinan untuk mewujudkan Daily Commuting Arrangement (DCA) ataupun Gelembung Perjalanan (Travel Bubble) akan turut dibincangkan melalui jawatankuasa khas ini," jelasnya.