MALAYSIA

Johor jadi tumpuan dunia, tuan rumah Influencers World Cup 2025

Ernalisa Othman 31/08/2025 | 03:30 MYT
Acara itu diyakini mampu memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam sektor pelancongan negeri. - Foto Hairi Mad Shah
JOHOR BAHRU: Johor sekali lagi mencuri perhatian global apabila dipilih sebagai tuan rumah kepada Influencers World Cup 2025, yang akan berlangsung dari 3 hingga 7 September di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, kejohanan berprestij ini bakal menghimpunkan barisan pempengaruh, pencipta kandungan digital dan personaliti media sosial terkenal dari seluruh dunia.

Selain beraksi di atas padang bola sepak, acara ini dijangka menjadi platform strategik untuk memperkenalkan Johor sebagai destinasi utama penganjuran sukan, hab belia dan pusat kreativiti digital antarabangsa.

“Lapan pasukan akan bertanding, termasuk dari Argentina, Sepanyol, England, Mexico, Perancis, Colombia, Chile dan tuan rumah Malaysia,” kata Hairi dalam kenyataan media pada Sabtu.

Beliau menambah, kehadiran nama-nama besar dalam dunia digital dijangka menarik ribuan pengunjung, bukan sahaja peminat bola sepak, malah komuniti kreatif, pelabur industri digital dan pencinta gaya hidup kontemporari.

Hairi turut menyatakan bahawa penganjuran kejohanan ini selari dengan agenda Johor Sport Nation 2030, yang menekankan kecemerlangan sukan berprestasi tinggi serta penggabungan elemen ekonomi kreatif, teknologi digital dan keterlibatan generasi muda.

“Kejohanan ini bukan sekadar acara bola sepak, tetapi peluang untuk Johor menonjolkan keunikan negeri di mata dunia. Ia juga dijangka merancakkan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan, perhotelan dan peruncitan, selain membina jaringan global dengan komuniti kreatif antarabangsa,” jelasnya.

Hairi turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan bola sepak negeri, yang telah menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) antara kelab paling disegani di rantau ini.

“Peranan JDT sebagai penganjur bersama amat penting dalam menjayakan kejohanan ini. Stadium Sultan Ibrahim, kebanggaan rakyat Johor, akan sekali lagi menjadi pentas bersejarah yang menyatukan peminat sukan dan komuniti digital antarabangsa,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan keyakinan bahawa acara ini akan memberi limpahan ekonomi langsung kepada rakyat, khususnya dalam sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.





#Influencers World Cup 2025 #Stadium Sultan Ibrahim #Mohd Hairi Mad Shah