MALAYSIA
Johor komited lahirkan 600 akauntan profesional
Aznan berkata inisiatif itu bagi memperkukuh laluan kerjaya profesional dalam bidang perakaunan untuk anak-anak Johor. - Foto Facebook/Aznan Tamin
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor komited dalam memperkasakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dengan menyediakan 600 slot khas bagi melahirkan akauntan profesional menerusi program pensijilan antarabangsa Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata inisiatif itu bagi memperkukuh laluan kerjaya profesional dalam bidang perakaunan untuk anak-anak Johor, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan bertaraf antarabangsa melalui penyediaan program pensijilan yang diiktiraf global.
Beliau berkata Yayasan Peneraju bertindak sebagai pemacu utama dalam menyokong pembangunan modal insan negeri dengan menyediakan dana khas bagi program 'work-up skill'.
"Tawaran ini terbuka kepada pelbagai lapisan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, golongan profesional bekerja serta pemegang ijazah. Sebanyak 600 slot disediakan khas untuk anak Johor, satu langkah terangkum dalam memastikan tiada yang tercicir dalam pembangunan kemahiran berimpak tinggi.
"Dalam usaha melengkapkan sokongan menyeluruh kepada peserta, Sunway TES turut memainkan peranan penting sebagai penyedia latihan rasmi ACCA, mereka juga akan menyediakan fasiliti dan tenaga pengajar profesional untuk memastikan anak Johor menerima latihan berkualiti tinggi selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya menerusi hantaran Facebook.
Sebelum itu, Aznan menghadiri mesyuarat penyelarasan program ACCA dan ICAEW yang merupakan kerjasama antara Johor Talent Development Council (JTDC) bersama rakan strategik.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Ibrahim Sani.
Aznan turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terus komited bersama kerajaan Johor dalam memperkasakan anak muda dengan ilmu, kemahiran dan peluang masa depan.
-- BERNAMA