[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Johor laksana 20 projek berimpak tinggi babit peruntukan RM23.4 juta

Bernama 04/06/2025 | 05:15 MYT
Zahari berkata peruntukan fasa satu berjumlah RM9.25 juta disalurkan pada Februari lepas, manakala RM14.15 juta bagi fasa dua pula pada Jun ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 20 program atau projek berimpak tinggi yang menyokong Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor akan dilaksanakan pada tahun ini dengan melibatkan peruntukan RM23.4 juta.

Ringkasan AI
  • Pelaksanaan 20 program berimpak tinggi: Kerajaan Johor akan melaksanakan 20 projek menyokong Agenda Keterjaminan Makanan dengan peruntukan RM23.4 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
  • Pembahagian peruntukan dalam dua fasa: Fasa pertama sebanyak RM9.25 juta telah disalurkan pada Februari, manakala baki RM14.15 juta bagi fasa kedua akan diberikan pada Jun ini.
  • Fokus projek: Inisiatif merangkumi pengukuhan pertanian moden, industri asas tani dan akuakultur, serta peningkatan pengeluaran tenusu melalui Jemaluang Dairy Valley (JDV), pembangunan nanas dan sawah padi, naik taraf fasiliti pasar tani, serta pembangunan agropelancongan dan belia tani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata peruntukan disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi pelaksanaan Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah yang melibatkan dua fasa.
Beliau berkata peruntukan fasa satu berjumlah RM9.25 juta disalurkan pada Februari lepas, manakala RM14.15 juta bagi fasa dua pula pada Jun ini.
Projek atau program berimpak tinggi yang dilaksanakan dengan kerjasama kementerian itu, antaranya meliputi usaha untuk memperkasakan amalan pertanian moden, merancakkan industri asas tani dan industri akuakultur.
"Pengeluaran industri tenusu menerusi projek Jemaluang Dairy Valley (JDV) akan turut ditingkatkan serta menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), pembangunan industri nanas dan sawah padi, menaik taraf fasiliti pasar tani kekal dan pembangunan agropelancongan serta memperkasakan belia tani," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahari berkata usaha yang dilakukan itu diyakini akan menghasilkan limpahan manfaat yang dapat dinikmati seluruh rakyat Johor merentasi setiap lapisan masyarakat dan pelusuk negeri sekali gus menzahirkan penghargaan kepada kementerian atas peruntukan yang diberikan.
"Kerajaan Negeri Johor memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap program atau projek ini dilaksanakan dengan jayanya demi memartabatkan lagi sektor agromakanan di Johor, dan Malaysia amnya," katanya.
-- BERNAMA
#Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor #EXCO Johor #Zahari Sarip #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan