JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersama Jabatan Pendidikan Negeri akan melaksanakan 'Ops Payung' bagi membantu calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di lokasi terjejas banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Norlizah Noh berkata hal ini bagi memastikan kedua-dua peperiksaan akan berjalan seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata operasi itu antaranya melibatkan kaedah penyelesaian bagi memastikan pelajar dapat menduduki peperiksaan meskipun pusat peperiksaan atau kawasan persekitaran, kediaman calon atau jalan ke pusat peperiksaan terjejas akibat banjir.

"Sebagai contoh, jika jalan menuju ke pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir sedangkan kediaman calon dan pusat peperiksaan tidak terlibat, maka, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan membawa calon ke pusat peperiksaan.

"Kebebasan berpakaian diberikan kepada calon semasa peperiksaan dijalankan, kebajikan calon dan petugas peperiksaan juga adalah tanggungjawab pihak sekolah serta sekolah akan menyediakan peralatan menjawab kepada calon yang terlibat dengan banjir," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini seramai 235 pelajar terjejas banjir dan sembilan buah sekolah rendah di negeri itu dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Hanya sekolah rendah sahaja dijadikan PPS, manakala sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat peperiksaan awam SPM dan STPM," katanya.

Menurut beliau secara keseluruhan, seramai 48,276 pelajar di Johor akan menduduki SPM pada 8 Jan hingga 7 Mac ini dan 8,831 pelajar menduduki STPM bermula 22 Jan hingga 6 Feb.

Norlizah berkata terdapat 364 pusat peperiksaan melibatkan 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan bagi SPM di Johor, manakala bagi STPM, terdapat 75 pusat peperiksaan dengan 572 petugas.

Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor adalah 1,149 orang di 11 PPS di Kota Tinggi, Mersing dan Kluang.

-- BERNAMA