JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan menggunakan pendekatan saringan secara bersasar di kawasan berisiko di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri akan menggunakan sebanyak 20,000 ‘test kit’ (kit ujian) dalam bentuk RTK Antigen daripada Singapura.

Katanya, ia bagi tujuan melaksanakan saringan bersasar di negeri itu susulan peningkatan kes COVID-19 khususnya di Johor Bahru.

“Untuk ujian saringan, Johor tidak akan melaksankan mass testing tetapi ujian saringan bersasar.

“Untuk makluman, saya telah maklumkan kepada YB menteri, kita telah menerima kit ujian berbentuk RTK Antigen daripada negara jiran, Singapura melalui Yayasan Sultan Ibrahim dan 20,000 kit ujian akan digunakan untuk tujuan saringan bersasar yang akan kita buat khususnya di kawasan JB yang mana kes masih tidak menurun.

“Ini adalah perlu untuk kita buat pengesanan, dalam masa sama kerana RTK Antigen dengan ketepatan melebih 98 peratus. Jadi kita mengharapkan ujian yang boleh memberi dia keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Kota Iskandar Johor.

Hasni berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta di pusat membeli-belah dan secara pandu lalu di taman tema daerah Johor Bahru.

Pada masa sama, katanya beberapa PPV swasta di peringkat daerah di Batu Pahat, Kluang dan Muar turut dicadang untuk ditubuhkan.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan sasaran 50,000 penerima vaksin setiap hari tercapai.