JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor memohon agar pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dibuka bersama dengan VTL udara, 29 Nov ini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, kira-kira 300,000 rakyat negara ini bekerja secara ulang alik ke republik berkenaan setiap hari.

"VTL menerusi udara telah dibincangkan. Tetapi melalui jalan darat, kerajaan negeri meminta supaya tarikh pelaksanaan disekalikan, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dipersetujui kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Apresiasi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 di Auditorium RTM Johor, di sini, malam tadi.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan pelaksanaan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA, mulai 29 Nov ini. 

Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh membuat perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tidak perlu jalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika melepasi ujian COVID-19. 

Hasni berkata, penguatkuasaan SOP VTL darat bergantung kepada kapasiti Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) yang sudah mula dibina.

Pihaknya mencadangkan kapasiti pengembara sebanyak 100 individu sehari, melibatkan pengangkutan awam sahaja.

"Kalau VTL udara mungkin lebih mudah dikendalikan kerana setiap penerbangan mempunyai jadual masa ketibaan, yang membolehkan petugas bersedia.

"Dari segi VTL darat, memerlukan persediaan petugas seperti Jabatan Imigresen dan bergantung kepada keluasan BTC, bagi menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap pengembara.

"Buat permulaan, mungkin boleh hadkan dengan jumlah 100 pengembara, yang hanya menaiki pengangkutan awam sahaja, kerana ia mudah untuk dikawal," jelasnya.