Johor perhebat penganjuran lebih 100 program pelancongan sempena VJY2026 dan TMM2026

Mohd Jafni (tengah) menyambut ketibaan pelancong dari Jakarta Indonesia sempena Sambutan Tahun Melawat Johor 2026 di LTAS hari ini. - Gambar Bernama
KULAI: Kerajaan Negeri Johor akan memperhebat penganjuran lebih 100 program dan acara pelancongan sepanjang Tahun Melawat Johor 2026 (VJY2026) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai strategi utama memacu pertumbuhan sektor pelancongan serta menjana limpahan ekonomi negeri secara menyeluruh dan mampan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Johor memperhebatkan lebih 100 program pelancongan dalam Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
- Program yang dirancang termasuk festival, acara sukan, kebudayaan, dan ekopelancongan dengan skala dua hingga tiga kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya di seluruh Johor.
- Sasaran kehadiran 12 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sebanyak RM42 bilion sepanjang VJY2026 dijangka memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada sektor-sektor utama di negeri tersebut.
"Tarikan baharu bagi 2026 yang sedang dan akan dilancarkan pada suku pertama dan suku kedua termasuk Muzium Tokoh, Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Kota Tinggi, Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu Paya Bakau, River Cruise Sungai Johor serta Pusat Rekreasi Danga Bay," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Sambutan Ketibaan Pelancong sempena VJY2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata usaha itu turut disokong oleh kesiapsiagaan industri pelancongan negeri dengan kira-kira 500 hotel berdaftar membabitkan penginapan dua hingga lima bintang serta lebih 8,000 bilik, tidak termasuk kemudahan inap desa di seluruh negeri.
Beliau berkata sasaran kehadiran 12 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sebanyak RM42 bilion sepanjang VJY2026 dijangka memberi limpahan ekonomi termasuk penciptaan peluang pekerjaan serta manfaat langsung kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan dan industri kreatif di seluruh negeri.
Mengenai program hari ini, Mohd Jafni berkata sambutan ketibaan pelancong diadakan melalui tiga mod kemasukan utama iaitu udara, laut dan darat, sekali gus melambangkan komitmen Johor dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif dan mesra pengunjung.
Bagi laluan udara, program berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, manakala laluan laut di terminal feri utama termasuk Terminal Feri Puteri Harbour, Terminal Feri Berjaya Waterfront, Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Desaru Coast dan Terminal Feri Antarabangsa Kukup.
Sementara itu, pelancong dari Jakarta, Indonesia Raras Dwijanirmala, 38, berkata sempena sambutan VJY2026 hari ini, kehadiran beliau sekeluarga berasa sangat dialu-alukan khususnya dengan kemeriahan dan keramahan petugas, menjadikan pengalaman kali pertama mereka tiba di Johor lebih istimewa.
"Saya sangat terkejut dan gembira. Kami sekeluarga merancang untuk membawa anak-anak ke Legoland dan Johor Premium Outlets sepanjang percutian selama empat hari ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


