Skip to main content

Malaysia

Johor peruntuk RM5.975 juta Bantuan Bilik Guru

Onn Hafiz
Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri Majlis Aspirasi Pendidikan Negeri Johor 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara hari ini. - Foto FB Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.975 juta menerusi Belanjawan Johor 2026 bagi Bantuan Bilik Guru untuk tahun keempat pelaksanaannya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu bakal memberi manfaat kepada 1,195 buah sekolah dan lebih 49,000 guru di seluruh negeri Johor.

Beliau berkata, ia sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Johor terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan masa depan anak Bangsa Johor.

"Guru bukan sahaja mengajar di bilik darjah, tetapi membina keyakinan, membentuk akhlak, menyemai harapan dan menyediakan generasi pewaris Johor yang lebih baik," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Majlis Aspirasi Pendidikan Negeri Johor 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara di sini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan Anugerah Khas, Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru 2026 kepada warga pendidik yang telah membuktikan kecemerlangan, komitmen dan jasa luar biasa dalam memperkasa dunia pendidikan negeri ini.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik di Johor atas jasa, komitmen dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa.

"Tanpa guru-guru, tidak mungkin kita mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu membawa masa depan negeri ke arah yang lebih cemerlang.

"Semoga usaha ini terus memperkukuh kebajikan warga pendidik, memartabatkan sistem pendidikan negeri dan melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berakhlak, berkualiti dan berdaya saing," katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement