KLUANG: Kerajaan Negeri Johor merancang untuk membina sebuah hab logistik di dalam kawasan Simpang Renggam, kerana kedudukannya yang strategik iaitu berada di tengah-tengah negeri itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kawasan berkenaan juga mempunyai kelebihan kerana terletak berhampiran dengan tiga akses lebuh raya iaitu di Simpang Renggam, Machap dan Ayer Hitam menjadikan ia tempat yang ideal untuk hab berkenaan.

Beliau berkata selain itu, kedudukannya yang tidak jauh dari Johor Bahru, Singapura dan Kuala Lumpur itu menjadi faktor Simpang Renggam dilihat lokasi yang sesuai untuk pembangunan hab logistik berkenaan.

"Bagi tujuan pembinaan hab ini, kita sebenarnya telah mula berbincang dengan Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan juga Pegawai Daerah Kluang.

"Sekarang, kita dalam usaha untuk melihat kawasan yang benar-benar sesuai untuk dibangunkan sebagai hab logistik berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Johor Bersama Penduduk Kawasan Simpang Renggam di Taman Perling di sini semalam.

Menurut Onn Hafiz, cadangan awal untuk membangunkan hab berkenaan telah dilaksanakan dan memasuki draf pertama, namun perlu kajian yang mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat selain cadangan itu juga memerlukan persetujuan di peringkat negeri

"Kita perlu mengkaji perkara itu dengan teliti terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat di peringkat mesyuarat Exco kerajaan negeri. Harap-harap hujung tahun ini, kita ada sesuatu keputusan yang lebih konkrit.

"Ia dalam perancangan tetapi pada masa sama, saya mahu pastikan perkara asas seperti jalan raya dapat dibaiki dan dinaik taraf terlebih dahulu," katanya.

-- BERNAMA