ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 6,987 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan dari awal tahun sehingga semalam berbanding 104 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 6,048 kes (86.6 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga12 tahun iaitu 816 kes (11.7 peratus) dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

Sehingga kini, beliau berkata sebanyak lima wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri itu melibatkan daerah Kota Tinggi (dua wabak), Johor Bahru (dua wabak) dan Batu Pahat (satu wabak) berbanding sebanyak 28 wabak aktif HFMD dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (EPID) sebelum ini.

"Lokasi penularan wabak HFMD di Johor sehingga semalam ialah di 100 lokasi melibatkan taska (42 wabak) diikuti rumah persendirian (22 wabak), tabika (13 wabak), tadika (sembilan wabak), prasekolah (tujuh wabak), sekolah rendah (tiga wabak), pusat jagaan harian (dua wabak) dan lain-lain (dua wabak).

"Bagaimanapun, situasi ini masih terkawal. Ini dibuktikan dengan penurunan ketara trend kes HFMD yang dilaporkan di negeri Johor bermula pada Minggu Epid 22/2022 sehingga Minggu Epid 24/2022 iaitu dari 1,491 kes pada Minggu Epid 22/2022 kepada 1,090 kes pada Minggu Epid 23/2022 dan terkini 663 kes pada Minggu Epid 24/2022," kata beliau ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di sini hari ini.

Mengenai kes cacar monyet atau monkeypox pula, Ling berkata setakat ini tiada kes dilaporkan berlaku di Malaysia.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor sentiasa berada dalam keadaan siap siaga berlandaskan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan Monkey Pox ke Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, berpandukan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)," kata Ling (BN-Yong Peng).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) mengenai usaha dan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi mengekang penularan kes penyakit berjangkit seperti penyakit HFMD dan Monkey Pox dalam kalangan kanak-kanak dan sama ada fasiliti kesihatan negeri bersedia sekiranya penularan penyakit tersebut meningkat dengan mendadak.

-- BERNAMA