NATIONAL
Johor sokong pelaksanaan projek jejambat lintasan hidupan liar - Exco

Pembinaan projek jejambat akan menyediakan lintasan khusus untuk haiwan liar merentasi jalan-jalan utama di negeri ini. - Gambar hiasan
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menyokong penuh pembinaan projek jejambat yang menyediakan lintasan khusus untuk haiwan liar merentasi jalan-jalan utama di negeri ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Johor menyokong pembinaan jejambat khas untuk lintasan haiwan liar di Koridor Ekologi CFS2, dengan projek pertama dicadangkan di KM102 Laluan FT50 Batu Pahat-Jemaluang melibatkan kos RM66.2 juta.
- Projek ini bertujuan mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar serta memastikan kesinambungan ekologi dan keselamatan pengguna jalan raya.
- Johor turut menerima peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) untuk pelbagai inisiatif pemuliharaan termasuk translokasi gajah, pemasangan kolar satelit, penubuhan kumpulan pelindung hidupan liar, dan pembinaan food bank gajah di 21 lokasi.
"Projek pembinaan viaduct (jejambat) lintasan hidupan liar ini merupakan kesinambungan usaha berterusan kerajaan dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar akibat fragmentasi habitat di sepanjang rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS).
"Lintasan ini bukan sekadar infrastruktur fizikal tetapi mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan kesinambungan ekologi, keselamatan haiwan dan pengguna jalan raya serta pemuliharaan jangka panjang biodiversiti," katanya dalam penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) atas penyaluran peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Johor dengan sebahagian akan digunakan untuk beberapa inisiatif utama termasuk operasi translokasi gajah bermula Julai sehingga Disember.
Ling berkata peruntukan itu turut digunakan untuk penubuhan Kumpulan Pelindung Hidupan Liar (KPHL) di kampung di daerah Kluang yang sering terkesan dengan peruntukan RM226,000.
"Ketiga, pemasangan kolar satelit pada gajah untuk membolehkan sistem amaran awal berfungsi secara berkesan. Sehingga kini, dua unit kolar satelit berjaya dipasang dan operasi pemasangan akan diteruskan sehingga kesemua stok sedia ada habis digunakan.
"Selain itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor kini dalam proses perolehan lima unit tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan kolar satelit yang dimiliki sebanyak 10 unit.
"Sebanyak 21 kawasan dikenal pasti untuk pembinaan food bank gajah dan sesi libat urus bersama peladang telah diadakan bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini. Diharapkan, konflik manusia dan gajah dapat dikurangkan serta pada masa yang sama memelihara kelangsungan spesies gajah," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami