MALAYSIA
Johor teraju pelaburan pusat data negara, 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan

Onn Hafiz turut berkongsi bertemu Menteri Digital Gobind Singh Deo bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri itu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Johor muncul sebagai peneraju pelaburan pusat data negara dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan setakat suku kedua 2025.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan negeri itu menjadi peneraju pelaburan pusat data negara dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion setakat suku kedua 2025, dijangka mewujudkan lebih 6,000 pekerjaan berkualiti dan menyumbang 78.6% kapasiti IT negara.
- Johor menyasarkan enam peratus kapasiti pusat data Malaysia berpusat di negeri itu menjelang 2030, dengan aspirasi menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital melalui teknologi pintar, industri berdaya saing, serta ekosistem digital inklusif.
- Onn Hafiz bertemu Menteri Digital Gobind Singh Deo bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital Johor dan memperkukuh peranan negeri dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) untuk pembangunan yang menyeluruh, mampan dan berimpak kepada rakyat.
"Selari dengan perkembangan ini, kerajaan beraspirasi menjadikan Johor sebagai peneraju kecerdasan buatan (Al) dan ekonomi digital negara.
"Ini akan dicapai melalui pengintegrasian teknologi pintar dalam perkhidmatan awam, peningkatan daya saing industri serta pembinaan ekosistem digital inklusif dan mampan, agar manfaat teknologi dapat dirasai semua lapisan masyarakat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Onn Hafiz berkata gabungan infrastruktur pusat data yang berskala besar, kemajuan teknologi Al dan dasar kerajaan yang progresif akan turut meletakkan potensi Johor sebagai pusat inovasi digital serantau.
"Inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup bangsa Johor melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri baharu, dan penyelesaian pintar untuk cabaran harian rakyat," katanya.
Menerusi hantaran tersebut Onn Hafiz turut berkongsi bertemu Menteri Digital Gobind Singh Deo bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri itu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata pertemuan itu menjadi medan penting untuk memperkukuh peranan Johor dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) dan memastikan pembangunan pusat data dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan berimpak kepada rakyat.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami