SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Johor tolak buli: Pemangku Sultan dan Kerajaan Negeri sepakat - Onn Hafiz

Ernalisa Othman 21/08/2025 | 06:30 MYT
Inisiatif ini turut diperkukuh melalui kempen kesedaran #JohorSafeZone yang menekankan tanggungjawab bersama dalam membanteras buli. - Foto FB Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menegaskan pendirian tegas menolak budaya buli yang semakin membimbangkan, sejajar dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Johor menolak budaya buli secara tegas, selaras dengan titah Tunku Mahkota Ismail, kerana ia mengancam keselamatan dan masa depan generasi muda.
  • Usaha pencegahan diperkuat melalui kerjasama strategik antara sekolah, agensi kerajaan dan masyarakat, termasuk kempen #JohorSafeZone dan talian aduan 24 jam.
  • Setiap anak Johor berhak hidup dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera, dan masyarakat diseru menjadi mata dan telinga dalam membanteras buli tanpa kompromi.


Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, isu buli bukan sahaja mengancam keselamatan, malah berpotensi meranapkan masa depan generasi pewaris Bangsa Johor.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, emosi atau siber adalah satu perbuatan zalim. Ia meruntuhkan jiwa, melemahkan semangat, dan membunuh potensi anak-anak kita.

"Buli tetap buli, di mana sahaja ia berlaku dan ia mesti ditentang tanpa sebarang kompromi,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri komited memperkukuh dasar serta inisiatif pencegahan buli melalui kerjasama strategik bersama sekolah, agensi berkaitan dan masyarakat.

Menurutnya, setiap anak Johor berhak menikmati suasana hidup, pembelajaran dan pekerjaan yang selamat, damai dan sejahtera.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk bersama-sama menjadi mata dan telinga masyarakat. Laporkan segera, cegah sebelum parah.

“Gunakan talian aduan 24 jam yang telah disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia di 03-8884 9325 / 014-800 9325 dan Talian Kasih KPWKM: 15999,” katanya.

Jelasnya lagi, inisiatif ini turut diperkukuh melalui kempen kesedaran #JohorSafeZone yang menekankan tanggungjawab bersama dalam membanteras buli demi membina negeri Johor yang harmoni, makmur dan selamat.






#Johor tegas isu buli #pendirian tegas menolak budaya buli #onn hafiz ghazi #Pemangku Sultan Johor #tunku mahkota ismail