JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai bagi menangani isu pencemaran sungai di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan tinjauannya ke Sungai Tebrau dan Sungai Skudai, di sini, dua bulan lepas yang tercemar teruk dengan sampah sarap.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kutipan sampah di kedua-dua sungai itu melebihi 500 tan metrik setahun dan mencapai kos penyelenggaraan tahunan sebanyak RM650,000.

"Ini tidak termasuk sampah sarap yang dikeluarkan dari sungai oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu hampir 900 tan metrik setahun di Sungai Tebrau.

"Susulan lawatan kerja itu, saya telah mengarahkan satu Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai hendaklah ditubuhkan segera. Seminggu selepas lawatan tersebut, saya telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu," katanya berucap pada majlis pelancaran Kempen Johor Bersih@Sungai Tebrau dan bot pemungut sampah di Jeti Kampung Bakar Batu di sini pada Sabtu.

Kempen itu dilancarkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Raven Kumar berkata menerusi jawatankuasa berkenaan, penyelarasan dapat dilakukan secara bersama dengan semua jabatan dan agensi yang terlibat.

Beliau berkata pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan kebersihan sungai terpelihara termasuk pemasangan lebih banyak struktur perangkap sampah, melaksanakan program khidmat masyarakat dan mengadakan aktiviti kebersihan secara gotong-royong.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata pengoperasian bot pemungut sampah yang boleh memerangkap tiga tan sampah untuk satu perjalanan itu akan dimulakan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai memandangkan sampah domestik daripada rumah setinggan paling banyak dikesan dibuang ke dalam sungai berkenaan.

"Di Sungai Tebrau sahaja 85 tan metrik sampah sarap dikutip MBJB pada Januari tahun ini. (justeru itu) bot ini akan beroperasi setiap hari, kita akan lihat tahap efektif bot ini, kalau betul-betul membuahkan hasil, kita akan tambah lebih banyak bot untuk membuat kerja pembersihan," katanya dengan menambah selain JPS, operasi pembersihan sungai di negeri ini turut dilakukan pihak berkuasa tempatan.

-- BERNAMA