Skip to main content

Malaysia

Johor utamakan rakyat tempatan dalam pembangunan pelancongan - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 9 Mac -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sesi temu bual bersama Bernama yang diketuai oleh Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, semalam.  Johor menyasarkan untuk meningkatkan lagi momentum pertumbuhan pelaburan kepada RM140 bilion pada tahun ini, selepas mencatat jumlah pelaburan diluluskan tertinggi negara tahun lepas sebanyak RM110 bilion tahun lepas.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Onn Hafiz ketika sesi temu bual bersama Bernama di Saujana Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Johor Bahru, baru-baru ini. --fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dalam pembangunan sektor pelancongan negeri sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh industri berkenaan secara mampan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pendekatan itu dapat dilihat antaranya menerusi pelaksanaan kadar tiket  berbeza di Zoo Johor, dengan rakyat tempatan dikenakan bayaran RM10 berbanding RM30 bagi pelancong asing.

Advertisement

Beliau berkata usaha tersebut turut disokong dengan kerja menaik taraf kemudahan di beberapa lokasi riadah utama di bandar raya itu, termasuk Taman Merdeka, Taman Botani Diraja Johor dan Hutan Bandar. 

Onn Hafiz berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan rakyat tempatan menjadi kumpulan pertama menikmati kemudahan pelancongan yang disediakan kerajaan negeri.

"Saya hendak bagi penekanan kepada bangsa Johor bahawa dari segi leisure, beriadah, mereka diutamakan dan akan ada banyak lagi produk yang akan dilancarkan tahun ini," katanya kepada Bernama ketika mengulas tanggapan bahawa negeri itu bergantung kepada pelancong asing, khususnya dari Singapura.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di sini baru-baru ini.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri tidak menafikan kepentingan pelancong asing, namun mahu memastikan wujud keseimbangan dengan memberi penekanan kepada pelancong domestik yang secara tidak langsung membantu mempromosikan produk pelancongan Johor.

“Kita yakin apabila rakyat sendiri bangga dengan produk pelancongan kita, mereka akan menjadi third party validator untuk menguar-uarkan perkara baik tentang negeri ini," katanya.

Beliau berkata beberapa produk pelancongan di seluruh daerah turut dinaik taraf termasuk kawasan Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak dan Kampung Sungai Melayu di Iskandar Puteri yang berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan.

Menteri Besar itu berkata strategi tersebut selari dengan perancangan Tahun Melawat Johor 2026 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan sokongan pelancong domestik dan antarabangsa.

Kerajaan negeri sebelum ini menyasarkan kutipan hasil secara langsung dan tidak langsung berjumlah RM42 bilion sempena Tahun Melawat Johor 2026, berdasarkan sasaran 12 juta pelancong sepanjang tahun tersebut. 

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM116.35 juta bagi tempoh 2024 hingga 2025 untuk menaik taraf kemudahan awam, mempertingkatkan tarikan pelancongan serta memperkukuh pengalaman pengunjung di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video