ISKANDAR PUTERI: Johor yakin mampu menarik kehadiran seramai 15 juta pelancong ke negeri ini sehingga penghujung tahun ini.

Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim berkata perkara itu berdasarkan kejayaan menarik kehadiran seramai 8.8 juta pelancong ke negeri ini setakat hari ini.

Beliau berkata ia turut disumbang menerusi pelbagai aktiviti berskala besar yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

"Sebelum ini kita menyasarkan 10 juta pelancong bermalam di Johor tahun ini dan kita turut menganggarkan sektor pelancongan negeri telah mencapai tahap 80 peratus berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Tahun lepas, Johor merekodkan seramai sembilan juta pelancong bermalam, itu dalam keadaan pintu sempadan antarabangsa baharu dibuka, jadi pastinya tahun ini akan lebih ramai lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Majestic Johor Festival 2023 di sini hari ini.

Berhubung Majestic Johor Festival 2023, Suhairi berkata seramai 650,000 pengunjung dijangka hadir pada program yang berlangsung selama sembilan hari bermula 26 Ogos di Puteri Harbour, Kota Iskandar di sini.

Menurut beliau jumlah itu meningkat berbanding kehadiran seramai 600,000 pengunjung dalam program sama, tahun lepas.

Katanya program itu bertujuan mengumpul usahawan daripada pelbagai sektor termasuk fesyen, kecantikan, kesihatan, kembara, makanan dan minuman.

"Kali ini, tarikan utamanya adalah kita melibatkan penyertaan skuad bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan menyaksikan pemain-pemain utama mereka turut hadir memeriahkan program.

Selain itu, program tahun ini juga akan menampilkan seramai 60 artis popular tempatan yang akan menghiburkan pengunjung dengan persembahan setiap malam sepanjang program berlangsung," katanya.

Mengenai Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23 baru-baru ini, Suhairi menyifatkan penganjuran program konvoi Diraja menjelajah ke 10 daerah di negeri ini itu telah mencipta kejayaan memberangsangkan apabila disambut baik oleh rakyat.

KMJ diilhamkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2001 ketika menjadi Tunku Mahkota Johor, bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata dan sejak itu, KMJ menjadi satu daripada acara utama tahunan Johor sekali gus merapatkan perhubungan Istana Johor dengan rakyat.

-- BERNAMA