KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Indonesia Joko Widodo merakamkan penghargaan atas perhatian dan doa yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Indonesia, susulan bencana gunung berapi dan cabaran jerebu yang sedang dihadapi republik itu.
Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, menerusi hantaran di media sosial berkata beliau gembira dapat berbicara dan bertukar khabar dengan Anwar menerusi perbualan telefon hari ini, selain memohon maaf kerana belum berkesempatan bertemu secara langsung di Pulau Pinang.
"Hubungan Indonesia dan Malaysia lebih daripada sekadar hubungan dua negara. Kita adalah bangsa serumpun yang memiliki sejarah, budaya dan persaudaraan yang begitu dekat," katanya dalam hantaran di Instagramnya pada Ahad.
Dalam masa sama, beliau berharap persahabatan dan hubungan baik di antara kedua-dua negara terus terpelihara serta membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat masing-masing.
Presiden Indonesia ketujuh itu kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Dialog Keselamatan yang berlangsung di George Town dan turut menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan hari ini.