Presiden Indonesia Joko Widodo melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia, bermula hari ini (Khamis), atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata ia merupakan lawatan sulung pemimpin yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu ke Malaysia selepas dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, Jokowi akan diiringi isteri, Iriana serta beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan Indonesia.

Jadual lawatan beliau termasuk upacara sambutan negara, menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta jamuan negara hari ini.

Pada Jumaat (6 Feb), Jokowi dijadual mengadakan mesyuarat tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diikuti mesyuarat delegasi, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi hos jamuan rasmi tengah hari bagi meraikan Jokowi, isteri beliau dan delegasi Indonesia.

Kenyataan itu berkata Jokowi juga akan melawat Proton bagi tujuan meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang automotif.

Lawatan presiden Indonesia itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai kemajuan hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Indonesia, menurut kenyataan itu.

Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar pandangan tentang isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara, kata kenyataan itu.

Indonesia adalah rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2013, dagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM61.1 bilion (US$19.4 bilion), manakala bagi tempoh Januari hingga November 2014, jumlahnya ialah RM54.7 bilion (US$16.9 bilion).