MALAYSIA
Jom Beli Lokal - Barang Kita, Kebanggaan Kita: KBBM dorong sokongan produk tempatan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (dua dari kanan) bergambar bersama produk Mamee dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang menggalakkan sokongan rakyat terhadap produk tempatan. - Gambar KPDN
KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) terus diperkasa menerusi tema Jom Beli Lokal bagi tahun 2025, sebagai usaha menyemarakkan sokongan rakyat terhadap produk keluaran tempatan.
Inisiatif anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini menekankan kepentingan memilih barangan buatan Malaysia sebagai langkah memacu ekonomi domestik, menjana peluang pekerjaan serta mengukuhkan jati diri nasional dan semangat patriotisme.
Sehingga tahun 2025, kolaborasi strategik KPDN bersama rangkaian peruncitan tempatan dan platform pemasaran dalam talian (marketplace) berjaya mencatatkan nilai jualan lebih RM26.3 bilion, dengan 13.3 juta SKU dipasarkan.
Pencapaian ini membuktikan KBBM mendapat sambutan baik daripada pengguna dan turut disokong oleh pemain industri. Selain menggalakkan perbelanjaan dalam negara, kempen ini turut memperkukuh daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.Bermula 2024, KPDN melaksanakan Program Pengantarabangsaan Produk Usahawan Tempatan ke Pasaran Luar Negara atau Program Local-2-Global Retail bertujuan memartabatkan syarikat PMKS tempatan ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan rangkaian pasar raya besar yang turut beroperasi di luar negara.
Antara pelaksanaannya termasuk di Thailand (Citarasa Malaysia dan Maroi Festival 2024), Dubai (Taste of Malaysia 2024) serta Jepun (Malaysia Fair – Taste of Malaysia 2024) yang membuka ruang penembusan pasaran global untuk produk tempatan berkualiti.

Program ‘Taste of Malaysia’ di Dubai turut dipimpin oleh KPDN sebagai sebahagian daripada usaha KBBM memasarkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa. - Gambar KPDN
Selain itu, KBBM turut disokong dengan enam inisiatif strategik lain, iaitu:
1. Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan di dalam Industri Peruncitan Tempatan.
2. Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan melalui Platform Dalam Talian (Marketplace).
3. Inisiatif Program Pengantarabangsaan Produk Usahawan Tempatan ke Pasaran Luar Negara (Program Local-2-Global Retail).
4. Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan melalui Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus.
5. Inisiatif Kolaborasi Strategik Media Animasi.
6. Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia sempena Jelajah Karnival KPDN di negeri-negeri terpilih.
Seiring itu, penganjuran Jelajah Karnival KPDN 2025 dari Jun hingga November di enam negeri iaitu Johor, Sabah, Sarawak, Kedah, Pahang dan Selangor, menjadi platform penting untuk mempromosikan serta memperkenalkan produk tempatan kepada masyarakat setempat.
KPDN juga komited meringankan kos sara hidup rakyat menerusi program seperti Jualan RAHMAH MADANI, yang menawarkan barangan terpilih pada harga subsidi 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Sehingga kini, sebanyak 3,114 syarikat melibatkan 33,090 SKU telah mendapat kebenaran menggunakan Logo Barangan Malaysia, yang menjadi pengiktirafan kepada jenama tempatan pilihan pengguna.
KPDN menggalakkan lebih banyak pengeluar memohon logo ini bagi meningkatkan keyakinan pengguna serta memudahkan penjenamaan di pasaran tempatan dan antarabangsa. Permohonan boleh dibuat melalui pautan rasmi: https://buymalaysian.kpdn.gov.my/.
KPDN menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan produk tempatan demi mengangkat martabat jenama negara selari dengan prinsip “Jom Beli Lokal – Barang Kita, Kebanggaan Kita”.

Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) meninjau produk usahawan tempatan di reruai KBBM yang mempamerkan pelbagai pilihan produk Malaysia. - Gambar KPDN
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami