PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneroka kemungkinan mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi perkhidmatan kesihatan tertentu, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum sumbangan besar pengamal perubatan swasta dalam negara yang telah banyak membantu memenuhi keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan terutama ketika pandemik dan hospital swasta turut membantu menguruskan kes COVID-19.

"Kerjasama awam-swasta sedemikian telah menunjukkan peningkatan dan memaksimumkan jangkauan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada penduduk.

"Sebagai mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Kesihatan yang berpengalaman dengan pelbagai isu dan cabaran dalam sistem kesihatan kita, saya percaya bahawa pendekatan awam-swasta perlu diterokai dengan lebih lanjut," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) ke-62 di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Ts. Kamel Mohamad pada majlis yang turut dihadiri Dr R.Muruga Raj iaitu Presiden baharu MMA.

Mohd Shafiq berkata ketika ini terdapat 8,350 klinik pengamal perubatan swasta, lebih 10,000 pegawai perubatan terlatih dan lebih 220 hospital swasta yang berupaya menjadi kekuatan tambahan bagi melengkapkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di pusat kesihatan awam.

Beliau berkata kerjasama itu juga diyakini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan awam selain mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Dr Muruga Raj telah mengambil alih jawatan Presiden MMA bagi tempoh 2022-2023 semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 diadakan secara hibrid, menggantikan Dr Koh Kar Chai yang kini berperanan sebagai Presiden Terdahulu Yang Terdekat.

Dalam ucapan sulungnya, Dr Muruga Raj berkata beliau akan memfokus kepada isu buli dalam kalangan petugas sistem penjagaan kesihatan.

"Memang membimbangkan apabila mendengar mengenai perkara ini. Jadi, biarlah saya katakan di sini bahawa perbuatan membuli tidak akan dibiarkan lagi kerana saya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan rakan sekerja bagi memastikan tingkah laku buruk ini ditangani," katanya.

Beliau memperoleh Ijazah MBBS dari Kolej Perubatan Kasturba, Manipal, India dan turut memiliki Ijazah Undang-Undang dari Universiti London serta Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Asia Metropolitan.

-- BERNAMA