Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kereta mewah yang diklon walaupun mereka memberi alasan menjadi mangsa penipuan penjual kenderaan terbabit.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata ini kerana hanya segelintir yang menjadi mangsa manakala selebihnya menyedari walaupun ia kereta klon namun tetap membelinya kerana dijual dengan harga lebih murah berbanding kereta asli.

"Kebanyakan pemilik kenderaan klon tahu mereka bakal berdepan tindakan oleh pihak berkuasa namun kerana keinginan menyebabkan mereka tidak mempedulikan implikasi undang-undang yang bakal dihadapi.

"Menerusi tindakan penguatkuasaan tahun lalu sehingga semalam, JPJ Terengganu telah menyita lebih 250 kereta palsu atau klon di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas Majlis Perasmian Program Jom JPJ yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri merangkap ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad di Kampung Keruak, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kebanyakan kenderaan klon yang disita ialah kenderaan yang dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran.

"Ia ditawar dengan harga berbeza mengikut jenis kenderaan dari sekitar RM12,000 (seunit) berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM100,000,” katanya.

Katanya, antara kenderaan mewah yang menjadi pilihan pembeli ialah Toyota Wish, Honda, Subaru, BMW dan Mercedes Benz.

"JPJ mempunyai kepakaran untuk mengesan kenderaan klon kerana sindiket menjual kenderaan klon biasanya akan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan jenis sama yang sah yang digunakan di negara ini selain menggunakan cukai jalan tidak sah," katanya.

"Apabila maklumat dalam sistem JPJ berbeza dengan maklumat yang terdapat pada kenderaan itu, kita akan menyita kenderaan itu dibawah Seksyen 64 (1) dan seterusnya mengeluarkan saman di bawah seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk langkah keselamatan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.