MALAYSIA

JPJ, APAD diarah tingkat pemantauan terhadap pesalah trafik berulang - Loke

Bernama 26/06/2025 | 11:15 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu diambil susulan dakwaan terdapat kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pesalah trafik yang melakukan kesalahan berulang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan terhadap pesalah trafik berulang melibatkan syarikat pengangkutan dan pemandu kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu diambil susulan dakwaan terdapat kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pesalah trafik yang melakukan kesalahan berulang.
"Saya dah arahkan kepada JPJ dan juga APAD supaya lebih agresif dari segi pemantauan terutamanya kepada pesalah berulang ini termasuk syarikat atau pun pemandu yang (mempunyai kesalahan) berulang-ulang ini.
"Tindakan proaktif perlu diambil iaitu seperti yang saya telah berikan gambaran bahawa audit akan dilaksanakan. Tanpa berlaku apa-apa insiden pun, audit akan masuk ke syarikat-syarikat (pengangkutan)," katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat dan Pengumuman Pendigitalan Pas My50 di Stesen LRT KL Sentral, di sini hari ini.
Berhubung dakwaan terdapat segelintir pemandu lori yang menyembunyikan saman sehingga menyebabkan tunggakan bertambah, Loke berkata perkara itu adalah urusan dalaman syarikat terbabit.
"Yang pertamanya, saman tetap saman. Saya rasa mereka perlu menguruskan kaedah bersama dengan pemandu sebab permit itu dikeluarkan kepada syarikat. Permit kenderaan bukan diberikan kepada pemandu. Jadi apabila kenderaan itu disaman, pemilik kenderaan, pemilik permit ada tanggungjawab dia.
"Jadi bagi saya, itu adalah urusan dalaman mereka termasuklah bagaimana nak uruskan pemandu-pemandu itu," katanya.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Sementara itu, ditanya sama ada inisiatif pas perjalanan tanpa had My50 yang kini digunakan dalam perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Bhd akan diperluas kepada semua operator pengangkutan awam, Loke berkata pihaknya sedang berunding dengan KLIA Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) supaya menawarkan pas bulanan pada kadar lebih rendah kepada pengguna.
"Jadi ini yang kita usahakan..cuma saya tak bolehlah kata RM50 ini untuk semua jenis mod. Itu sangat sukar untuk dilaksanakan," katanya.
Berhubung isu kekangan tempat letak kereta dan kerosakan kenderaan di kawasan parkir stesen pengangkutan awam, Loke berkata kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) untuk ke stesen LRT.
"Kerajaan tidak akan dapat membina semua tempat ada Park and Ride. Itu sebabnya kita memperkenalkan ROD, tujuannya adalah kita nak menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ #APAD #Anthony Loke #pesalah trafik berulang