MALAYSIA

JPJ cadang perluas pemakaian tali pinggang keledar bas milik IPT, sekolah berasrama penuh

Bernama 20/07/2025 | 06:40 MYT
JPJ akan melakukan pemeriksaan secara berperingkat. - Gambar fail
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk memperluas penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua bas milik Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah berasrama penuh.


Ringkasan AI
  • Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memperluas penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua bas milik Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah berasrama penuh, dengan pemeriksaan teknikal dan penguatkuasaan bermula Ogos secara berperingkat.
  • JPJ akan bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk memastikan bas dan pemandu mematuhi spesifikasi keselamatan. Pemeriksaan dilakukan secara berperingkat kerana kekangan tenaga kerja.
  • JPJ turut merangka kaedah untuk menggantung atau membatalkan lesen peserta program MyLesen B2 yang terlibat dalam aktiviti haram seperti lumba haram atau rempit, sebagai langkah pencegahan keselamatan jalan raya.


Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya akan menggerakkan pasukan teknikal dan penguatkuasaan JPJ negeri bermula Ogos untuk berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan untuk memeriksa bas di institusi masing-masing.

"Boleh dikatakan semua IPT ini dan sekolah berasrama penuh mempunyai bas sendiri ... kita ingin pastikan bas yang diselenggara oleh pihak IPT dan institut pendidikan ini mematuhi spesifikasi dan pemandunya juga mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pemeriksaan akan dilakukan secara berperingkat memandangkan keupayaan tenaga kerja JPJ yang terhad.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang merangka kaedah untuk menggantung atau membatalkan lesen sekiranya pemegang lesen bagi mereka yang menyertai program MyLesen B2 didapati terlibat dengan aktiviti haram seperti lumba haram atau rempit.


#JPJ #tali pinggang keledar #bas sekolah #bas IPT