JPJ disaran tingkat mutu perkhidmatan kaunter

Bernama
April 2, 2021 09:52 MYT
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menyarankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik mutu perkhidmatan kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam. - Gambar fail/BERNAMA
MELAKA: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menyarankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik mutu perkhidmatan kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam.
Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini, Wee memaklumkan menerima pelbagai cadangan dan maklum balas daripada orang ramai dan antaranya adalah agar unit kenderaan bergerak JPJ ditambah bagi keselesaan pelanggan agensi tersebut.
"Antara cadangan lain adalah keperluan menambah kaunter mesin kiosk dan penggantian perabot terutamanya kerusi yang telah rosak serta khemah sementara untuk kaunter JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.
"Seorang pemegang taruh yang mewakili golongan korporat juga telah mencadangkan kepada saya agar dapat mewujudkan semula kaunter khas bagi urusan syarikat yang mempunyai transaksi yang banyak memandangkan pada ketika ini, wakil syarikat hanya dibenarkan memperbarui tiga Lesen Kenderaan Motor (LKM) sahaja pada satu-satu masa," katanya.
Beliau juga memaklumkan akan berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ untuk menambah kakitangan kerana sebahagian daripada pegawai JPJ telah dipinjamkan bertugas di Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan agensi itu.
"Saya berpuas hati apabila mendapati bekalan disk atau stiker LKM mencukupi dan urusan pembaharuan kesemua jenis lesen ini berjalan dengan lancar di negeri ini.
"Walaupun hanya singgah selama kira-kira 35 minit, namun saya menggunakan kesempatan yang ada untuk berinteraksi dengan orang ramai dan juga pegawai-pegawai JPJ serta kakitangan di kaunter yang ditugaskan. Saya juga melihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di sini dilaksanakan dengan baik," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ #perkhidmatan kaunter #Jabatan Pengangkutan Jalan #Menteri Pengangkutan #Wee Ka Siong