Skip to main content

Malaysia

JPJ Kelantan sita kereta BMW disyaki pamer cukai jalan palsu

KOTA BHARU, 31 Mei 2026 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan telah melaksanakan Ops Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 secara bersepadu di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) Wilayah Timur, Kota Bharu serta kawasan sekitarnya. -- FB JPJ Negeri Kelantan DN
JPJ Kelantan mengeluarkan 256 notis saman hasil pemeriksaan terhadap 400 kenderaan di beberapa lokasi sekitar negeri ini. - Foto FB JPJ Kelantan DN

KOTA BHARU: Sebuah kereta BMW 320i disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan selepas disyaki mempamerkan cukai jalan palsu dalam Ops Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 yang dijalankan di sini malam tadi.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pemeriksaan menggunakan peranti penguatkuasaan pintar (SmED) mendapati cukai jalan sebenar kenderaan itu telah tamat tempoh sejak Julai 2025.

Beliau berkata bagaimanapun pemandu terbabit mempamerkan salinan dokumen yang menunjukkan cukai jalan kenderaan itu masih sah hingga Ogos 2026.

“Anggota penguat kuasa curiga selepas semakan sistem mendapati maklumat dipamerkan tidak sepadan dengan rekod sebenar. 

"Kenderaan itu disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki mempamerkan dokumen palsu,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Motosikal HRAA 2026 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Wilayah Timur di sini.

Beliau berkata pemandu berusia 20 tahun itu turut didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah dan memaklumkan kenderaan berkenaan dibeli secara dalam talian.

Katanya semakan lanjut turut mendapati terdapat lima saman aktif berkaitan kesalahan had laju atas kenderaan berkenaan.

Dalam operasi sama, JPJ Kelantan mengeluarkan 256 notis saman hasil pemeriksaan terhadap 400 kenderaan di beberapa lokasi sekitar negeri ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 230 kenderaan diambil tindakan selain 10 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1), tiga notis arah periksa kenderaan dan 10 notis penahanan kenderaan dikeluarkan.

Mohd Misuari berkata tujuh daripada kenderaan yang ditahan ialah motokar manakala tiga lagi motosikal yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 103 kes, diikuti tiada perlindungan insurans sebanyak 56 kes serta cukai jalan tamat tempoh.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement